Wednesday, February 2, 2011

Menipu Dalam Sukatan dan Transaksi

Maksud Firman Allah SWT: "Kecelakaan bagi orang yang curang (dalam sukatan atau timbangan). Iaitu orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhi. Tetapi apabila mereka menyukat untuk orang lain mereka mengurangi. Tidakkah mereka itu menyangka bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan? Pada hari (KIamat) yang amat besar? Hari manusia dibangkitkan menghadap Tuhan sekalian alam. (al-Quran, Surah al-Muthaffifin: 1 - 6).

Maksud curang atau menipu dalam sukatan yang disebutkan di dalam ayat di atas perlu dipandang dalam skop urusniaga atau transaksi yang luas, bukan sahaja urusniaga runcit malah meliputi sektor kejuruteraan pembinaan, sektor ICT, sektor hartanah dan seumpamanya. Dalam sektor runcit mudah sahaja difahami penipuan dalam timbangan sama ada penipuan dalam bentuk kuantiti mahupun menipu dengan penggunaan alat timbangan yg tidak tepat. Justeru memang wajar alat penimbang sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa.

Dalam sektor pembinaan contohnya jalan raya, kontraktor pembinaan mungkin menipu dalam bentuk kualiti bahan dan kuantitinya. Mereka boleh sahaja menggunakan bahan yang tidak berkualiti dan mengurangkannya sama ada semasa pembinaan malah ada yang menipu pada resit pembelian. Akibatnya jalan raya yang baru sebulan siap dibina rosak di sana sini dan menjadi 'perangkap' yang membawa kecelakaan kepada pengguna jalan raya.

Begitu juga yang berlaku dalam pembinaan bangunan dan sebagainya. Implikasinya diperlihatkan dalam tragedi stadium runtuh, masjid runtuh, makmal komputer sekolah runtuh dan lain-lain yang berlaku di Malaysia. Malah tragedi kapal selam tidak boleh menyelam, kereta baru yang kerosakan komponen tertentu dan lain-lain adalah manifestasi kecurangan dalam transaksi atau perniagaan selain faktor RASUAH yang menambah parahnya kualiti tamadun manusia sekarang.



Jika perspektif 'al-muthoffifin' tersebut diperluaskan maka memang wajarlah balasannya neraka wail. Kerana golongan al-muthoffifin bukan saja mengkhianati orang awam malah boleh meruntuhkan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment