Monday, March 19, 2012

RAHSIA TARIKH PILIHAN RAYA – DS NAJIB BUKAN PM 1 MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

20 Mac 2012

RAHSIA TARIKH PILIHAN RAYA – DS NAJIB BUKAN PM 1 MALAYSIA

Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Pahang menganggap tindakan Perdana Menteri (PM), YAB Datuk Seri Najib Tun Razak merahsiakan tarikh pilihan raya membuktikan beliau hanya layak menjadi Perdana Menteri untuk Umno, BUKAN untuk seluruh rakyat Malaysia ATAU lebih tepat lagi bukan PM 1 Malaysia!

Jika benar beliau PM 1 Malaysia, yang mendakwa kononnya rakyat diutamakan, maka sudah tentu beliau berani untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) secara telus mulai SEKARANG! Pengumuman tarikh tersebut amat penting untuk membantu dan memudahkan rakyat mengatur jadual kehidupan mereka kerana PRU13 adalah suatu peristiwa penting dan besar untuk seluruh rakyat Malaysia.

Jika tarikh PRU13 di ketahui awal, bukan sahaja parti politik yang mendapat manfaat malah jutaan rakyat Malaysia dapat menyesuaikan tarikh kenduri perkahwinan, tarikh menunaikan umrah, tarikh persidangan, tarikh seminar, tarikh latihan, tarikh urusan perniagaan, tarikh peperiksaan, tarikh melancong dan seumpamanya. Apabila jadual dapat diatur maka mudahlah bagi semua rakyat ikut terlibat secara bertanggungjawab di dalam pilihan raya untuk menentukan teraju kepimpinan negara sekali gus arah tuju masa depan negara.

Justeru, PAS Pahang menggesa jika benar DS Najib mendukung transformasi politik negara, UMUMKAN SEGERA TARIKH PRU13. Jadikan PRU13 sebagai pilihan raya pasca 54 tahun kemerdekaan, bukan pilihan raya undur 50 tahun ke belakang. Berikan hak yang adil dan saksama kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka. Berikan demokrasi maklumat kepada seluruh rakyat.

Sekian, terima kasih.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan

Wednesday, February 29, 2012

MUNAJAT MENUJU KEMENANGAN



Sukacita dengan penuh hormat SEMUA AHLI PAS PAHANG TERUTAMANYA JAWATANKUASA CAWANGAN DAN UPU DAN KEPIMPINAN DI SEMUA PERINGKAT DIJEMPUT HADIR (MUAKKADAH) KE MUNAJAT INI DEMI MEMANTAPKAN TEKAD DAN MENDEKATKAN HATI SETULUSNYA KEPADA ALLAH SWT DALAM MELAYAKKAN JEMAAH MENDAPAT KURNIAAN PERTOLONGAN DAN KEMENANGAN DALAM PRU 13. DENGARKAN JUGA AMANAT PRESIDEN SEBAGAI PERSEDIAAN AKHIR TURUN KE MEDAN - SEBARKAN.

Friday, January 20, 2012

SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KEMASUL, BENTONG





KENYATAAN MEDIA

20 Januari 2012

SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KEMASUL, BENTONG

Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Pahang menggesa kerajaan Negeri Pahang menjelaskan kepada rakyat bagaimana boleh berlaku pengeluaran balak di kawasan Hutan Simpan Kekal Kemasul di dalam Daerah Bentong.


Berdasarkan lawatan kerja PAS Pahang ke kawasan tersebut pada 19 Januari 2012, didapati papan tanda pemberitahuan status Hutan Simpan Kekal oleh Jabatan Perhutanan masih gah terpacak di puncak bukit berkenaan. Kewujudan papan tanda rasmi ini mengundang tanda tanya rakyat mengenai status hutan tersebut adakah sudah dilupuskan untuk tujuan pembalakan dan pertanian berikutan terdapatnya tiga kawasan matau pembalakan di sekitarnya yang siap tertera nombor lesen dan maklumat pembalakan.

Sehubungan itu, PAS Pahang mahu Kerajaan Pahang menjelaskan kepada rakyat persoalan-persoalan berikut:

1. Benarkah kerajaan telah mengeluarkan lesen pembalakan yang sah untuk membolehkan pengeluaran balak di kawasan hutan simpan tersebut?

2. Adakah status Hutan Simpan Kekal itu telah dilupuskan?

3. Jika dilupuskan adakah mengikut prosedur atau dibolehkan oleh undang-undang?

4. Mengapa dilupuskan sedangkan kawasan tersebut amat penting sebagai khazanah perhutanan negara sekali gus sebagai kawasan tadahan untuk lembangan Sungai Teriang dan Sungai Pertang. Tidakkah akan menjejaskan ekologi dan bekalan air bersih jangka panjang untuk negara?

PAS Pahang berpendapat jika aktiviti pembalakan tersebut adalah haram, maka adalah mustahil pihak berkuasa perhutanan tidak mengetahuinya berdasarkan aktiviti pembalakan dan matau yang terletak di tepi jalan raya sekali gus tertera lesen pembalakan. Sementelahan pula kawasan hutan tersebut terletak di dalam kawasan DUN yang diwakili oleh YAB Menteri Besar Pahang.

Kami mendapat aduan penduduk sekitar bahawa aktiviti pembalakan sudah berjalan kira-kira dua bulan lepas dan lori yang membawa kayu balak keluar mengikut jalan Kampung Chemomoi dan FELDA Kemasul - Triang termasuk pada waktu malam.

Penduduk tempatan juga mengadu mengenai keadaan air Sungai Pertang dan Sungai Triang yang begitu keruh sejak beberapa bulan berkemungkinan kesan daripada aktiviti pembalakan tersebut.

PAS Pahang menggesa pihak kerajaan menarik balik sebarang lesen pembalakan jika ada dikeluarkan kepada mana-mana pihak dan mengambil tindakan segera menghentikan sebarang aktiviti penjarahan hasil hutan di kawasan Hutan Simpan Kemasul sekali gus diikuti tindakan segera untuk PEMULIHARAANNYA demi untuk menyediakan kawasan tadahan air bersih untuk generasi akan datang.

  • SELAMATKAN HUTAN KITA KHAZANAH RAKYAT.
  • SELAMATKAN NEGERI PAHANG DARIPADA KERAKUSAN PENJARAH.
  • SELAMATKAN MALAYSIA. BERSAMA MEMBUAT PERUBAHAN
  • ANDA RAKYAT MERDEKA BERANI MELAKUKANNYA.

Sekian, terima kasih.


ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan