Sunday, September 7, 2014

PAS NEGERI PAHANG BERSAMA MAJLIS SYURA ULAMA PERTAHAN PRESIDEN PARTI MILIKI KUASA PEMUTUS



KENYATAAN MEDIA
13 Zulkaedah 1435 / 8 September 2014



PAS NEGERI PAHANG  BERSAMA MAJLIS SYURA ULAMA
PERTAHAN PRESIDEN PARTI MILIKI KUASA PEMUTUS

Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) berdiri teguh menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada hari kelmarin mempertahankan kuasa pemutus yang dimiliki oleh Presiden PAS.

PAS Negeri Pahang juga turut menegaskan bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan PAS.

Justeru, kami menegaskan bahawa Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan saf kepimpinan PAS di semua peringkat dan ahli di setiap lapisan bertanggungjawab dan berkewajipan untuk melaksanakan segala keputusan dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS sepertimana yang terdapat dalam peruntukan Perlembagaan PAS.
Sekian, terima kasih.




ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang

Monday, August 18, 2014

PENCEMARAN HULU SUNGAI LIPIS DI TAHAP SERIUS


PENCEMARAN HULU SUNGAI LIPIS DI TAHAP SERIUS

Gambar-gambar ini dirakam pada kira-kira jam 3.30 petang hari ini Isnin 18 Ogos 2014 di Kampung Batu Malim, Jalan Raub - Sg Koyan. Kebiasaannya aliran air Sungai Lipis ini agak jernih dan lokasi gambar ini diambil menjadi tumpuan orang ramai bermandi manda.

Namun pada hari ini airnya bukan saja keruh malah berwarna merah! Kejadian ini bukan kali pertama malah kerap kali berlaku selepas hujan lebat di hulu sungai. Sungai Lipis adalah anak kepada Sungai Jelai, justeru air yang tercemar ini akan mengalir ke Sungai Pahang.

Apakah punca yang menyumbang kepada pencemaran yang serius ini? Adakah terdapat aktiviti perlombongan di hulu sungai ini, atau aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang yang tidak terkawal? Atau disebabkan oleh projek pembinaan jalan raya ke Slim River yang entah bila akan siapnya sejak dimulakan beberapa tahun lalu?

PAS Negeri Pahang memandang serius pencemaran ini kerana menjejaskan kualiti air sungai dan sistem ekologi. PAS Pahang menggesa Jabatan Alam Sekitar menyiasat SEGERA punca pencemaran ini dan mengambil tindakan tegas membanteras pencemaran daripada berterusan. Pastikan slogan 'Cintailah Sungai Kita" tidak hanya tinggal slogan di papan tanda iklan...


ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang
18 Ogos 2014