Monday, March 19, 2012

RAHSIA TARIKH PILIHAN RAYA – DS NAJIB BUKAN PM 1 MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

20 Mac 2012

RAHSIA TARIKH PILIHAN RAYA – DS NAJIB BUKAN PM 1 MALAYSIA

Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Pahang menganggap tindakan Perdana Menteri (PM), YAB Datuk Seri Najib Tun Razak merahsiakan tarikh pilihan raya membuktikan beliau hanya layak menjadi Perdana Menteri untuk Umno, BUKAN untuk seluruh rakyat Malaysia ATAU lebih tepat lagi bukan PM 1 Malaysia!

Jika benar beliau PM 1 Malaysia, yang mendakwa kononnya rakyat diutamakan, maka sudah tentu beliau berani untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) secara telus mulai SEKARANG! Pengumuman tarikh tersebut amat penting untuk membantu dan memudahkan rakyat mengatur jadual kehidupan mereka kerana PRU13 adalah suatu peristiwa penting dan besar untuk seluruh rakyat Malaysia.

Jika tarikh PRU13 di ketahui awal, bukan sahaja parti politik yang mendapat manfaat malah jutaan rakyat Malaysia dapat menyesuaikan tarikh kenduri perkahwinan, tarikh menunaikan umrah, tarikh persidangan, tarikh seminar, tarikh latihan, tarikh urusan perniagaan, tarikh peperiksaan, tarikh melancong dan seumpamanya. Apabila jadual dapat diatur maka mudahlah bagi semua rakyat ikut terlibat secara bertanggungjawab di dalam pilihan raya untuk menentukan teraju kepimpinan negara sekali gus arah tuju masa depan negara.

Justeru, PAS Pahang menggesa jika benar DS Najib mendukung transformasi politik negara, UMUMKAN SEGERA TARIKH PRU13. Jadikan PRU13 sebagai pilihan raya pasca 54 tahun kemerdekaan, bukan pilihan raya undur 50 tahun ke belakang. Berikan hak yang adil dan saksama kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka. Berikan demokrasi maklumat kepada seluruh rakyat.

Sekian, terima kasih.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan