Sunday, March 6, 2011

PRK KERDAU 2011 – DEMOKORUPSI UMNO/BN

Dewan Datuk Abdullah Kia di Kerdau digunakan sebagai premis BN! SPR tak buat apa-apa ...

Pada prinsipnya jika PAS menang sekali pun di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau pada 6 Mac 2011, saya tetap tidak akan gembira. Ini kerana PRK tersebut berlangsung dalam suasana yang amat tidak demokratik dan pelanggaran terhadap undang-undang pilihan raya yang dilakukan sewenang-wenangnya oleh Barisan Nasional (BN) tanpa dapat dicegah oleh Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR). PRK Kerdau 2011 adalah pilihan raya yang menjadi medan ‘demokorupsi’ (demonstrasi korupsi) BN.

Korup kerana sejak sebelum hari penamaan calon lagi pelanggaran prinsip demokrasi dan undang-undang pilihan raya telah dilakukan oleh parti yang memerintah iaitu BN. Beberapa premis awam yang tidak sepatutnya digunakan sebagai pangkalan parti politik untuk PRK telah diceroboh oleh BN. Walaupun laporan dan bantahan dibuat kepada SPR namun sehingga ke hari mengundi pada 6 Mac 2011, tiada sebarang tindakan dilakukan SPR!

Korup kerana pelbagai projek segera dan serta merta dibuat tanpa segan silu oleh kerajaan BN di kawasan DUN Kerdau. Pelbagai peruntukan kewangan dalam jumlah yang besar diumumkan dengan sewenang-wenangnya oleh BN seolah-olah wang kerajaan adalah wang peribadi mereka yang boleh dikeluarkan dan dibelanjakan sesuka hati tanpa perlu sebarang prosedur.

Korup kerana walau apa alasan sekali pun, projek segera pada musim pilihan raya pada prinsipnya adalah rasuah. SPR ternyata gagal melaksanakan fungsinya memastikan prinsip demokrasi dipatuhi secara berkesan khasnya oleh parti memerintah, BN. Kegagalan ini merupakan pelanggaran kepada prinsip keadilan yang sepatutunya menjadi teras keharmonian negara.

Korup kerana menteri-menteri yang datang berkempen menggunakan sepenuhnya kemudahan kerajaan untuk kepentingan peribadi dan parti BN. Anggota polis digunakan untuk mengiringi gerombolan kereta mereka manakala kakitangan kerajaan termasuk guru-guru sekolah dari seluruh Temerloh dikerah hadir mendengar kempen menteri BN. Ini merupakan korupsi terang-terangan yang dilakukan sebagai ‘model uswatun hasanah’ kepimpinan kerajaan BN!

Korup kerana sogokan wang tunai amat berleluasa kepada pengundi-pengundi yang disusuli ugutan dan pembohongan. Pengundi yang menerima sogokan wang ini ternyata ketakutan apabila mereka tidak berani untuk tampil menjadi saksi untuk membuktikan perlakuan korup BN untuk tindakan udang-undang.

PRK Kerdau 2011 mungkin merupakan model dan acuan masa depan negara yang hendak diwariskan oleh kepimpinan umno/BN kepada generasi muda. Tidak hairanlah kenapa rasuah gagal dibanteras malah terus membiak kerana rasuah dan umno tidak dapat dipisahkan.