KEPENTINGAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
Sebagai parti politik sekali gus gerakan Islam, PAS adalah kerajaan menunggu. Justeru MAT merupakan acara penting yang wajar dijadikan sebagai tamrin menyediakan kemahiran kepimpinan di peringkat saf bawah. Tiga fokus penting dalam MAT:
1. Perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan – agenda ini jika diprogramkan dengan baik berguna sebagai latihan memantapkan kepimpinan dan organisasi parti. Agenda ini merupakan medan muhasabah pengurusan parti dan pengurusan kewangan untuk setahun yang telah berlalu, mengenal pasti segala kelemahan, kekuatan, peluang dan penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk sesi baru mendatang.
2. Perbahasan Usul – agenda ini juga penting untuk membina dan menyerlahkan keupayaan kepimpinan parti menggarap isu-isu dalaman parti, isu-isu negara dan juga isu-isu antarabangsa untuk kepentingan rakyat dan ummah. Usul yang diluluskan jika perlu dan sesuai wajar dihebahkan kepada rakyat melalui media serta disampaikan kepada pihak yang disasarkan untuk membuat tindakan.
3. Pemilihan Kepimpinan Parti – MAT Tahun 2011 adalah MAT yang akan membuat pemilihan Jawatankuasa Kerja baru parti di semua peringkat. Agenda ini perli diurus dengan baik bukan sekadar untuk mengelakkan sebarang kekecohan malah yang lebih utama ialah memastikan kepimpinan baru yang dipilih benar-benar berkelayakan untuk memikul amanah perjuangan. Tatacara pemilihan yang ditetapkan parti dalam proses pemilihan di samping akhlak yang ditetapkan Islam dalam proses pemilihan kepimpinan jemaah perlu dipatuhi oleh semua ahli, dan Allah SWT menjadi saksi atas segala kerja buat anda.
Selain itu, majlis perasmian MAT yang kebiasaannya disempurnakan oleh tetamu kehormat dari kalangan tokoh kepimpinan parti wajar dimanfaatkan sebagai majlis merakyatkan parti. Ini boleh dilakukan dengan memastikan semua ahli yang hadir sebagai perwakilan atau pemerhati membawa bersama mereka seluruh ahli keluarga untuk memeriahkan majlis perasmian tersebut. Selain itu orang ramai, tokoh-tokoh masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan boleh diundang ke majlis perasmian MAT supaya mesej parti yang akan disampaikan oleh tokoh kepimpinan parti dapat dikongsi bersama mereka.
KEWAJIPAN MEMBAYAR YURAN TAHUNAN
Membayar yuran tahunan adalah sebahagian daripada tanggungjawab tahunan ahli PAS. Yuran perlu dibayar bukan sekadar sebagai sumber kewangan parti malah lebih utama menjadi bukti ikrar atau baiah perjuangan setiap ahli. Kewajipan membayar yuran tahunan dan ketetapan-ketetapan berkaitan kewangan yang diputuskan secara kolektif oleh parti dari masa ke semasa disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) di dalam Fasal 14 Ceraian 2 (a).
Justeru setiap ahli PAS wajar menyemak status keahlian mereka dengan menjadi ahli di mana-mana cawangan PAS di seluruh negara supaya pembayaran yuran tahunan dan tanggungjawab kewangan lain dapat dilakukan dengan sistematik. Maksud sistematik di sini ialah setiap hierarki parti akan mendapat bahagian agihan bayaran tersebut bermula daripada Cawangan, Kawasan, Negeri dan PAS Pusat. Pastikan anda menjadi pemegang saham kekuatan kewangan parti dan pastikan anda lulus ketika di soal di Padang Mahsyar kelak dalam bab tanggungjawab asasi tahunan terhadap jemaah perjuangan Islam ini.
Bersegeralah berjumpa dengan Bendahari PAS Cawangan anda dan jelaskan yuran tahunan anda dan anggota keluarga anda sebagai ahli PAS yang bertanggungjawab, Kemantapan kewangan parti tanggungjawab anda.
KEPENTINGAN MENJADI AHLI PAS CAWANGAN
Penggabungan sebagai ahli PAS cawangan juga membolehkan anda menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan di peringkat Cawangan seterusnya berpeluang dipilih menjadi perwakilan ke Mesyuarat Agung di peringkat Kawasan, Negeri malah ke Muktamar di peringkat Pusat. Sebagai perwakilan anda berpeluang menyalurkan idea dan pandangan malah kritikan membina untuk memantapkan parti. Anda juga berpeluang dipilih menjadi kepimpinan parti di pelbagai peringkat untuk menjayakan idealisme perjuangan, Jika dipilih, anggaplah ia suatu kemuliaan yang dikurniakan Allah kerana terpilih sebagai mujahid penerus risalah perjuangan para nabi dan rasul ‘alaihimus salam.
No comments:
Post a Comment