Saturday, May 7, 2011

TAZKIRAH - BERSEDEKAH KETIKA DI JALAN RAYA

Sedekah tidak semestinya dengan wang ringgit sahaja. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud):

“kalau tidak boleh memberi sesuatu benda, senyumlah kerana senyuman adalah sedekah. Begitu juga membuang duri di jalanan adalah sedekah hatta berkata-kata perkara yang baik pun termasuk dalam sedekah”

(Hadis riwayat Muslim).

Sabda baginda Rasulullah s.a.w. (yang bermaksud):

“daripada Jabir bin Abdullah, katanya: Rasulullah pernah bersabda, “tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudara mu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timba mu ke dalam bekas air yang di bawanya.” (Riwayat Imam Ahmad).



Justeru dapat disimpulkan bahawa bersopan santun di jalan raya sekali gus mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya adalah merupakan sedekah kepada sekalian pengguna jalan tersebut. Ini kerana dengan berhemah ketika menggunakan jalan raya bukan sahaja menjamin keselamatan diri sendiri malah keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut dan penduduk kawasan sekitarnya.

Justeru, patuhilah peraturan di jalan raya. Antara yang utama ialah:

1. Sentiasa pastikan kenderaan dalam keadaan selamat untuk digunakan dan mematuhi jadual servisnya.

2. Sebut nama Allah dan berdoa ketika mula menggerakkan kenderaan anda atau ketika meletakkannya di tempat kenderaan.

3. Patuhi had laju yang ditetapkan.

4. Jangan memotong di garisan berkembar, jangan memotong di laluan kiri, dan jangan memintas giliran ketika beratur (queue) di jalan raya.

5. Pastikan keselamatan sewajarnya apabila keluar daripada simpang.

6. Patuhi lampu isyarat dan papan tanda arahan di sepanjang jalan raya.

7. Beri laluan kepada pengguna di laluan utama ketika anda keluar daripada simpang susur.

8. Letak kereta dan motosikal di petak atau kawasan yang ditetapkan.

9. Jangan letak motosikal di celah-celah petak letak kereta.

10. Jangan menghalang atau menyekat laluan kereta yang diletakkan di petak letak kereta.

11. Jangan memandu perlahan tanpa sebab di lorong kanan ketika di lebuh raya.

12. Jangan ‘mengejar’ lampu isyarat kuning.

13. Pakai tali pinggang keledar di dalam kereta atau topi keledar bagi penunggang motosikal.

14. Jangan tinggikan lampu kenderaan anda ketika memandu berlawanan arah dengan kenderaan lain atau ketika mengekori di belakang kenderaan lain.

15. Jangan menggunakan telefon genggam (hand phone) ketika sedang memandu.

16. Bertimbang rasa dan bersabar dengan kerenah pengguna jalan raya yang lain.

Berakhlak di jalan raya sebagai salah satu jalan mencari redho Allah. Anda selamat dan pada masa sama anda BERSEDEKAH JARIAH.

No comments:

Post a Comment