Tuesday, May 31, 2011

PENEROKA - BANGKIT MENJADI KESATUAN YANG BERKUASA


Assalamualaikum warahmatullah

Selamat datang ke Himpunan Kebangkitan Warga FELDA. Tuan / puan warga FELDA adalah entiti yang memiliki kuasa yang besar bukan sahaja daripada aspek ekonomi bahkan sektor sosiopolitik negara.

Di seluruh di negeri Pahang sahaja terdapat lebih 100 tanah rancangan iaitu kira-kira 38% daripada 2,000,000 ekar keluasan tanah FELDA di seluruh negara. Ini menggambarkan entiti peneroka memiliki saham yang besar bagi menyumbang kepada ekonomi negara dan ekuiti orang Melayu. Andai kata nilai tersebut diterjemahkan dalam bentuk institusi kolektif, warga peneroka FELDA di Pahang boleh membentuk suatu blok perniagaan yang besar yang mampu memiliki kuasa penentu dalam perkembangan ekonomi negara.

Namun di sepanjang 55 tahun perjalanan FELDA, apakah matlamat sebenar FELDA untuk peneroka benar-benar tercapai? Bukankah peneroka berterusan dibelit bebanan hutang yang semakin bertambah, masalah pusaka yang tidak selesai kerana tiada mekanisme pembahagian pusaka yang tuntas, malah generasi kedua dan ketiga FELDA tidak mempunyai hala tuju masa depan yang pasti.

Justeru belum terlambat untuk warga peneroka FELDA bangkit untuk mengubah percaturan yang tidak seimbang ini yang dihasilkan oleh pengurusan politik negara pada hari ini yang menyimpang jauh daripada matlamat asal FELDA ditubuhkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak. Peneroka FELDA dan FELCRA perlu bersatu membentuk suatu TRADE UNION bagi memiliki kuasa tawar menawar yang besar dalam menentukan dasar dan hala tuju FELDA dan FELCRA pada masa depan.

Bagi pihak jawatankuasa penganjur dan seluruh petugas, saya mengalu-alukan kehadiran seluruh tetamu kehormat dan para peneroka serta seluruh rakyat ke Himpunan bersejarah ini. Semoga himpunan ini menjana dinamo kebangkitan rakyat untuk menuntut hak asasi mereka yang dirampas selama ini.

Sekian selamat berhimpun dan bangkit.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Pengarah Himpunan Kebangkitan Warga FELDA Pahang

No comments:

Post a Comment