Friday, January 20, 2012

SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KEMASUL, BENTONG





KENYATAAN MEDIA

20 Januari 2012

SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KEMASUL, BENTONG

Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Pahang menggesa kerajaan Negeri Pahang menjelaskan kepada rakyat bagaimana boleh berlaku pengeluaran balak di kawasan Hutan Simpan Kekal Kemasul di dalam Daerah Bentong.


Berdasarkan lawatan kerja PAS Pahang ke kawasan tersebut pada 19 Januari 2012, didapati papan tanda pemberitahuan status Hutan Simpan Kekal oleh Jabatan Perhutanan masih gah terpacak di puncak bukit berkenaan. Kewujudan papan tanda rasmi ini mengundang tanda tanya rakyat mengenai status hutan tersebut adakah sudah dilupuskan untuk tujuan pembalakan dan pertanian berikutan terdapatnya tiga kawasan matau pembalakan di sekitarnya yang siap tertera nombor lesen dan maklumat pembalakan.

Sehubungan itu, PAS Pahang mahu Kerajaan Pahang menjelaskan kepada rakyat persoalan-persoalan berikut:

1. Benarkah kerajaan telah mengeluarkan lesen pembalakan yang sah untuk membolehkan pengeluaran balak di kawasan hutan simpan tersebut?

2. Adakah status Hutan Simpan Kekal itu telah dilupuskan?

3. Jika dilupuskan adakah mengikut prosedur atau dibolehkan oleh undang-undang?

4. Mengapa dilupuskan sedangkan kawasan tersebut amat penting sebagai khazanah perhutanan negara sekali gus sebagai kawasan tadahan untuk lembangan Sungai Teriang dan Sungai Pertang. Tidakkah akan menjejaskan ekologi dan bekalan air bersih jangka panjang untuk negara?

PAS Pahang berpendapat jika aktiviti pembalakan tersebut adalah haram, maka adalah mustahil pihak berkuasa perhutanan tidak mengetahuinya berdasarkan aktiviti pembalakan dan matau yang terletak di tepi jalan raya sekali gus tertera lesen pembalakan. Sementelahan pula kawasan hutan tersebut terletak di dalam kawasan DUN yang diwakili oleh YAB Menteri Besar Pahang.

Kami mendapat aduan penduduk sekitar bahawa aktiviti pembalakan sudah berjalan kira-kira dua bulan lepas dan lori yang membawa kayu balak keluar mengikut jalan Kampung Chemomoi dan FELDA Kemasul - Triang termasuk pada waktu malam.

Penduduk tempatan juga mengadu mengenai keadaan air Sungai Pertang dan Sungai Triang yang begitu keruh sejak beberapa bulan berkemungkinan kesan daripada aktiviti pembalakan tersebut.

PAS Pahang menggesa pihak kerajaan menarik balik sebarang lesen pembalakan jika ada dikeluarkan kepada mana-mana pihak dan mengambil tindakan segera menghentikan sebarang aktiviti penjarahan hasil hutan di kawasan Hutan Simpan Kemasul sekali gus diikuti tindakan segera untuk PEMULIHARAANNYA demi untuk menyediakan kawasan tadahan air bersih untuk generasi akan datang.

  • SELAMATKAN HUTAN KITA KHAZANAH RAKYAT.
  • SELAMATKAN NEGERI PAHANG DARIPADA KERAKUSAN PENJARAH.
  • SELAMATKAN MALAYSIA. BERSAMA MEMBUAT PERUBAHAN
  • ANDA RAKYAT MERDEKA BERANI MELAKUKANNYA.

Sekian, terima kasih.


ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan



Wednesday, November 23, 2011

CERAMAH HAJI MOHAMAD BIN SABU


Tarikh: Isnin, 28 November, 2011
Masa: 9 malam
TEMPAT: Kampung Berchang, Kuala Lipis, Pahang
MOH KITA HADIR BERAMAI-RAMAI

FIQH AL-HARAKAH - PENGALAMAN PAS PERLU DIBUKUKAN

Mengurus sebuah keluarga yang besar adalah umpama berada di dalam latihan amali fakulti tarbiah dan pengurusan sumber manusia, itulah pengalaman aplikasi fiqh at-tarbiah yg merupakan ayat-ayat Allah yang manzurah.

Begitu juga PENGALAMAN DAN PERJALANAN panjang perjuangan Parti Islam Semalaysia (PAS) di Malaysia, adalah suatu aplikasi fiqh ad-dakwah dan fiqh al-harakah, yang semestinya amat berbeza dengan pengalaman dilalui gerakan Islam di dunia lain. JUSTERU, amat wajar segala pengalaman tersebut dirakamkan di dalam kitab ilmu fiqh al-harakah seperti mana dilakukan ulama dan ilmuwan tersohor gerakan Islam dunia Arab dan Indo-Pakistan.

Ayuh, ulama dan ilmuwan di dalam PAS, lakukannya sebagai hadiah untuk generasi pelapis akan datang ....

Friday, November 4, 2011

MARTABAT BAHASA MELAYU - HANYA MAINAN MEDIA DAN ORANG POLITIK


Bila sebut isu DASAR PEMANSUHAN PPSMI yang BERUBAH-UBAH, aku teringat sekitar pertengahan tahun 80-an (masa aku baru bekerja di UIA, PJ) bila sebuah kondominium yg baru dibina di Damansara menggunakan nama ala penjajah, maka riuh rendah di dalam media mengkritik kerana kononnya tidak berjiwa Malaysia, tidak mendukung citra Bahasa Kebangsaan. Akhirnya, kondominium tersebut ditukar kepada nama yg diguna pakai sekarang - TIARA DAMANSARA.

MALANGNYA, riuh rendah tersebut hanya seketika. SETAHUN kemudian pelbagai projek kondominium, taman perumahan, kompleks dan bangunan pencakar langit BERLUMBA-LUMBA menggunakan nama dan jenama ala EROPAH dan AMERIKA. Ternyatalah upaya memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan jati diri tempatan Malaysia hanya melepas batuk di tangga, tiada dukungan org politik yg memegang kuasa.

Begitulah yg terjadi kpd isu jenama 'Sure Heboh' yg hanya ditukar kpd 'Jom Heboh' setelah mendapat kritikan oleh ahli parlimen bukan Melayu di dalam sidang parlimen! Begitu juga dengan imej Putrajaya, dengan 'Presint'nya. Apa! - jika guna istilah 'jalan' atau 'lorong' atau 'kawasan' maka nilai sohor (org sekarang lebih suka sebut 'glamour') atau nilai ekonomi Putrajaya akan jatuh?

BAHASA JIWA BANGSA - Namun apa akan terjadi kepada nasib Bahasa Melayu di BUMI SENDIRI ....

Tuesday, November 1, 2011

BERSEDIA HADAPI KEMUNGKINAN BANJIR

[Gambar: Imbasan banjir 2007 di Maran - Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man turut bersama membantu penduduk kg yg ditimpa musibah banjir di Chenor]
Bangkok masih bungkam di dalam BANJIR BESAR ... Kita di MALAYSIA wajar membuat persediaan proaktif untuk menghadapi kemungkinan bencana tersebut melarat ke Semenanjung, terutama di negeri-negeri Pantai Timur.

PAS Pahang mengesyorkan kepada semua rakyat di negeri ini mengambil langkah berjaga-jaga ekoran pertambahan hujan sejak seminggu ini ... marilah berdoa agar Allah SWT, dengan rahmat Nya yang melimpah, menjauhkan kita semua dpd musibah banjir.

Friday, October 21, 2011

SAMBUTAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN YANG SEMU

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011 - Saya bagi markah GAGAL untuk kempen Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 ini. Tak nampak pun diisi dengan program yang serius samada oleh agensi-agensi kerajaan, badan berkanun, badan bukan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi dan juga parti-parti politik pemerintah atau pembangkang.

Rata-rata diketemukan penggunaan bahasa rojak samada di media massa malah juga oleh para pemimpin. Bukan sahaja rakyat Malaysia bukan Melayu yang gemar berbahasa Inggeris malah rakyat yang berketurunan Melayu pun kelihatan LEBIH GEMAR berbahasa Inggeris atau 'bahasa rojak' yang memualkan. Terlihat semacam ada kecenderungan mereka yang sedemikian mempunyai sikap apologetik atau rendah diri jika tidak menunjukkan mereka mampu berbahasa Inggeris.

Benarkah 'Tak Melayu Hilang Di Dunia'? ... BAHASA JIWA BANGSA.