Tuesday, October 18, 2011

SEGERAKAN PENYELESAIAN BEKALAN AIR BERSIH KG CHEGAR PERAH

Keadaan air Sungai Tanum yang tercemar teruk

KENYATAAN MEDIA

SEGERAKAN PENYELESAIAN BEKALAN AIR BERSIH KG CHEGAR PERAH

PAS Kawasan Parlimen Lipis (PAS Lipis) menyokong penuh rayuan penduduk Kg Chegar Perah supaya pihak kerajaan segera mengatasi masalah bekalan air bersih ke kampung tersebut yang telah berlarutan lebih lima tahun. Kegelisahan penduduk kampung berkenaan adalah berasas kerana pihak PAS Lipis sendiri telah beberapa kali membuat lawatan ke kampung tersebut sebelum ini untuk menyiasat aduan penduduk berkaitan isu bekalan air daripada telaga tiub yang didakwa tidak berkualiti untuk kesihatan.

Susulan lawatan tersebut, PAS Lipis telah mengambil sampel air berkenaan dan telah membuat aduan rasmi serta menyerahkan sampel air kepada Jurutera Daerah, Jabatan Bekalan Air (JBA) Daerah Lipis pada bulan Jun 2010. Dalam pertemuan tersebut, pihak JBA telah berjanji untuk menyiasat perkara berkaitan dan akan mengambil langkah susulan.

PAS Lipis dukacita kerana sejak aduan tersebut dibuat, masalah berkaitan masih berlarutan seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian keluaran 17 Oktober 2011. PAS Lipis menggesa pihak JBA bersama semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan SEGERA mengatasi masalah yang dibangkitkan.

Tindakan segera tersebut amat penting kerana bukan sahaja penduduk berdepan masalah bekalan air paip yang tidak berkualiti malah dihimpit masalah pencemaran sungai yang serius yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan berdekatan. Tinjauan PAS Lipis mendapati air Sungai Tanum yang mengalir berhampiran kampung berkenaan tidak lagi sesuai digunakan kerana terjejas dengan teruk sama ada pada waktu biasa apatah lagi selepas hujan.

Sekian.


ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang
Merangkap Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Parlimen Lipis



No comments:

Post a Comment