Sunday, January 30, 2011

SERTAI PERJUANGAN PAS SEBAGAI PENGGABUNGAN `AQAIDI


Jadikan penggabungan diri dengan PAS sebagai penggabungan `aqaidi yang lahir di atas tuntutan `aqidah yang kita pegang. Sejajar dengan firman ALlah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi wali (penolong, pelindung) bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar."

(Surah at-Taubah:71)

Tidak sekadar mereka disebut secara jama` (berkumpulan), malah disebut secara khusus bahawa mereka adalah wali sesama mereka. Ini menunjukkan bahawa seorang yang beriman itu mestilah melaksanakan dakwah, dan mestilah saling bekerjasama dan sempurna menyempurnakan dalam melaksanakannya. Ini tidak mungkin dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna melainkan dalam keadaan berkumpulan atau berjama`ah. Di sinilah lahirnya penggabungan diri ke dalam jemaah Islam: PENGGABUNGAN `AQAIDI yang dituntut oleh iman.

Penggabungan `aqaidi bukanlah timbul kerana ikutan ataupun semangat. Ia lahir di atas rasa KEIMANAN yang mendalam kepada Allah dan KEFAHAMAN yang jelas. Tindakan yang dilakukan dengan niat yang betul seperti mana pesanan Rasulullah s.a.w. masyhur:

"Dan barang siapa hijrahnya adalah untuk dunia yang ia ingini ataupun perempuan yang ia ingin nikahi, maka hijrahnya adalah untuk apa yang ia hijrah kepadanya."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penggabungan yang mesti dilakukan dengan istiqamah dan berterusan berhadapan dengan segala situasi kehidupan. Ingatlah hadis Nabi s.a.w.:

"Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat di zaman dahulu, lalu kamu berkelahi kerana merebutnya di muka dunia."

(Muttafaqun `alaih)

Penggabungan `aqaidi melahirkan individu yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam kerjanya kerana keyakinan dan kecintaan serta ketakwaan kepada Allah S.W.T. walaupun ia mungkin di keji dan dibenci oleh manusia. Individu ini akan resah gelisah sekiranya amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya tidak dilaksanakan kerana ia yakin ia akan dipersoalkan di hadapan Tuhannya kelak. Firman Allah (bermaksud ) :

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)."

(Surah al-Ahzab: 23)

al-faqir ilaLlah

Roslan bin Zainal

No comments:

Post a Comment