Tuesday, December 31, 2019

*PERUTUSAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PARLIMEN LIPIS SEMPENA TAHUN BAHARU 2020*


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

1. Secara umumnya sambutan tahun baru tidak disyariatkan dalam Islam. Namun jika disambut dengan pengisian yang patuh syariah dan membawa kepada ketaatan kepada Allah SWT maka diharuskan. Tahun 2020 bukan sekadar angka, ia adalah permulaan dekad ketiga bagi kurun ke-21 Masehi.

2. Menjadi  kebiasaan permulaan tahun baharu dijadikan sebagai pembukaan diari dan agenda untuk memperbaharui azam dan strategi dalam perjuangan umat dan organisasinya. Pada pertukaran tahun itu ada kebesaran Allah seperti firman-Nya:

إِنَّ فِي اخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمَا خَلَقَ اللّهُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَّقُونَ

"Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa." (Surah Yunus: 6)

3. Perjuangan menegakkan daulah dan syariat Islam, selain diperintahkan Allah, ianya adalah sunnah Rasullullah SAW dan diwariskan kepada umatnya. Maka seluruh ahli PAS Kawasan Lipis secara khusus *dan umat Islam amnya* diajak memperkukuhkan saf sebagaimana yang dikehendaki Allah:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah As-Saff: 4).

Sehubungan itu, saya mengajak semua ahli PAS Kawasan Lipis membaharui tekad dan meningkatkan komitmen kepada gerak kerja jemaah dengan semangat berlumba-lumba dalam melaksanakan jihad dan kebaikan. Sambutlah semboyan perjuangan sama ada dalam keadaan susah apatah lagi senang supaya binaan jemaah ini terus tegap menjadi benteng pertahanan dan kekuatan kelangsungan ummah.

Marilah kita menjadi sebahagian daripada pejuang yang diperihalkan Allah:

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya). (Surah Al-Ahzab: 23).

4. Tugas kita yang besar ialah melestarikan Penyatuan Ummah yang telah direalisasikan dengan pembentukan Muafakat Nasional. Mudah-mudahan ini  adalah jalan kemenangan kepada Islam dan mengembalikan tertegaknya daulah Islam. Inilah peluang jihad yang disediakan Allah kepada generasi zaman kita, seperti yang pernah diberikan kepada orang Ansar dan Muhajirin.

وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ آوَواْ وَّنَصَرُواْ أُولَـئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقّاً لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia". (Surah Al-Anfal: 74).

5. Negara kita walaupun telah merdeka, tetapi kita masih tidak dapat membebaskan diri dari agenda penjajah. Sebahagiannya termaktub dalam perundangan yang menyukarkan kita melaksanakan hukum Islam, dan sebahagian yang lain adalah akibat sistem politik yang memberi peluang luas kepada pihak yang membenci Islam. Oleh sebab itulah kita kena melakukan Jihad Siyasah. Allah dan Rasul-Nya telah meninggalkan formula untuk kita patuhi, iaitu kembali kepada Islam dan patuhi Al-Quran dan Sunnah. Kerana tidak mematuhinya, kita  gagal dalam perjuangan.

Marilah kita jadikan tahun 2020 tahun membina kekuatan untuk menang, bangkit bersama-sama. Firman Allah SWT:

لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai 'uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar." (Surah An-Nisa: 95).

#SALAM TAHUN BARU 2020
#MULAKAN HARI DENGAN SOLAT SUBUH BERJEMAAH SECARA ISTIQAMAH
#ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN

ROSLAN BIN ZAINAL
Yang Dipertua
PAS Kawasan Parlimen Lipis
20191231