Sunday, January 30, 2011

KESILAPAN CETAK BUKU – MENTERI PELAJARAN PERLU BERTANGGUNGJAWAB

KENYATAAN MEDIA

31 Januari 2011

Pakatan Rakyat Negeri Pahang (PR Pahang) menyokong penuh kenyataan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin yang menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Menteri Pelajaran supaya segera memberikan penjelasan terperinci berhubung kesilapan mencetak 400 ratus ribu buku teks KSSR Bahasa Inggeris Tahun 1 sehingga menyebabkan buku itu ditarik balik.


Penjelasan terperinci diperlukan oleh rakyat kerana kesilapan tersebut menyebabkan kerugian yang mencecah hampir RM4 juta dan memberikan kesan negatif bukan sahaja terhadap pelajar sekolah malah ke atas ekonomi negara. Pembaziran tersebut membabitkan jumlah wang rakyat yang begitu besar dan menunjukkan beliau selaku Menteri Pelajaran gagal memastikan pentadbirannya melaksanakan tata kerja berkualiti yang diuar-uarkan oleh kerajaan.

Kerugian akibat kecuaian seperti ini bukan kali pertama berlaku di bawah kementerian yang sama. Rakyat Malaysia masih belum dapat memaafkan kerugian yang dianggarkan RM5 bilion akibat kegagalan Dasar PPSMI sebelum ini. Jika jumlah kerugian akibat kegagalan beberapa projek infrastruktur pendidikan di seluruh negara sejak era Tun Dr Mahathir diambil kira, maka kementerian ini boleh dianggap di antara kementerian yang menyumbang kepada kerugian wang rakyat dalam jumlah yang sukar dimaafkan.

Jika pembaziran dan kecuaian-kecuaian tersebut dapat dielakkan, wang dalam jumlah demikian sudah pasti dapat disalurkan untuk manfaat yang lebih besar dan sepatutnya. Antaranya ialah menaikkan geran per kapita kepada semua sekolah di seluruh negara bagi menampung kos pengurusan operasi yang meningkat saban tahun. Jika ini dilakukan sudah tentu dapat mengurangkan bebanan dan tekanan ibu bapa yang pada masa sama berdepan dengan kenaikan kos hidup yang drastik dan menggigit.

PR Pahang menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan tegas ke atas Tan Sri Muhyiddin dan pihak berkaitan ekoran kecuaian ini kerana RM4 juta adalah jumlah yang amat besar. Jangan hanya berani bertindak ke atas rakyat jembel tetapi berlepas tangan apabila kesalahan dilakukan oleh pihak atasan. Jadikan kes ini salah satu penanda aras (benchmarking) program transformasi Malaysia yang dilaung-laungkan. Buktikan dengan tindakan, berhentilah daripada sekadar menambah sesak ruang maklumat negara dengan pelbagai slogan retorik populis semata.


ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang

SERTAI PERJUANGAN PAS SEBAGAI PENGGABUNGAN `AQAIDI


Jadikan penggabungan diri dengan PAS sebagai penggabungan `aqaidi yang lahir di atas tuntutan `aqidah yang kita pegang. Sejajar dengan firman ALlah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi wali (penolong, pelindung) bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar."

(Surah at-Taubah:71)

Tidak sekadar mereka disebut secara jama` (berkumpulan), malah disebut secara khusus bahawa mereka adalah wali sesama mereka. Ini menunjukkan bahawa seorang yang beriman itu mestilah melaksanakan dakwah, dan mestilah saling bekerjasama dan sempurna menyempurnakan dalam melaksanakannya. Ini tidak mungkin dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna melainkan dalam keadaan berkumpulan atau berjama`ah. Di sinilah lahirnya penggabungan diri ke dalam jemaah Islam: PENGGABUNGAN `AQAIDI yang dituntut oleh iman.

Penggabungan `aqaidi bukanlah timbul kerana ikutan ataupun semangat. Ia lahir di atas rasa KEIMANAN yang mendalam kepada Allah dan KEFAHAMAN yang jelas. Tindakan yang dilakukan dengan niat yang betul seperti mana pesanan Rasulullah s.a.w. masyhur:

"Dan barang siapa hijrahnya adalah untuk dunia yang ia ingini ataupun perempuan yang ia ingin nikahi, maka hijrahnya adalah untuk apa yang ia hijrah kepadanya."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penggabungan yang mesti dilakukan dengan istiqamah dan berterusan berhadapan dengan segala situasi kehidupan. Ingatlah hadis Nabi s.a.w.:

"Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat di zaman dahulu, lalu kamu berkelahi kerana merebutnya di muka dunia."

(Muttafaqun `alaih)

Penggabungan `aqaidi melahirkan individu yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam kerjanya kerana keyakinan dan kecintaan serta ketakwaan kepada Allah S.W.T. walaupun ia mungkin di keji dan dibenci oleh manusia. Individu ini akan resah gelisah sekiranya amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya tidak dilaksanakan kerana ia yakin ia akan dipersoalkan di hadapan Tuhannya kelak. Firman Allah (bermaksud ) :

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)."

(Surah al-Ahzab: 23)

al-faqir ilaLlah

Roslan bin Zainal

KERAJAAN DIGESA BAYAR ELAUN GURU KAFA SEWAJARNYA

KENYATAAN MEDIA

Pakatan Rakyat Negeri Pahang bersimpati dengan nasib guru-guru KAFA yang kini terpaksa memberikan khidmat lebih masa dengan bayaran elaun yang tidak setimpal. Ini kerana pada sesi persekolahan 2011, mereka telah diarahkan bekerja 60 jam sebulan (3 jam sehari / 5 hari seminggu) berbanding 24 jam sebulan (2 jam sehari / 3 hari seminggu) pada sesi tahun sebelumnya. Arahan tersebut terkandung di dalam surat pekeliling Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) yang dikeluarkan pada 3 Disember 2010.

Menurut surat tersebut, penambahan masa bertugas itu sejajar dengan kenaikan elaun guru KAFA yang diluluskan kerajaan sebanyak RM800.00 sebulan berbanding RM500.00 sebulan sebelum ini. Kenaikan ini sekilas pandang dilihat banyak tetapi apabila diagihkan kepada jumlah waktu bekerja ia merupakan suatu penindasan kepada guru KAFA. Ketika elaun bulanan mereka RM500.00 sebulan, kadar upah mereka ialah RM20.83 sejam berbanding ketika elaun mereka RM800.00 sebulan, kadar upah mereka merosot sehingga RM13.33 sejam sedangkan bebanan kerja mereka bertambah lebih 100%.

Sehubungan itu mengambil kira bebanan tugas yang bertambah di samping himpitan kos sara hidup yang meningkat mendadak akibat kenaikan harga minyak sekarang ini, Pakatan Rakyat Negeri Pahang menggesa pihak kerajaan mengkaji semula kadar elaun tersebut dan membuat pembayaran elaun guru KAFA sekurang-kurangnya pada kadar asal RM20.83 sejam. Ini bermakna guru KAFA sepatutnya menerima bayaran elaun RM1249.80 sebulan!

Pakatan Rakyat Negeri Pahang juga menggesa kerajaan negeri menyediakan premis khusus yang lebih baik untuk KAFA di seluruh negeri Pahang seperti mana di negeri-negeri lain di Semenanjung. Ini untuk memberikan keselesaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada warga KAFA di samping tidak mengganggu aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah kebangsaan yang ditumpang oleh KAFA sekarang ini.

Senario pembelajaran KAFA hari ini khasnya di negeri Pahang memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri tidak memberikan perhatian serius untuk penyediaan sumber manusia mukmin berkualiti untuk negeri ini. Justeru rakyat negeri Pahang diseru membuat perubahan kerajaan melalui Pilihan Raya Umum Ke 13 dengan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat Negeri Pahang akan menjadikan agenda pemerkasaan sektor pendidikan di negeri ini termasuk sektor pendidikan Islam sebagai salah satu agenda utama untuk melahirkan sumber manusia berkualiti untuk membangunkan negara.


ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang

KPI UNTUK DATUK SERI NAJIB SEBELUM PRU-13

Tak perlu banyak lancarkan slogan dan pelbagai projek mega, hanya laksanakan tuntutan-tuntutan di bawah:

KE ARAH MEMBANGUNKAN MODAL INSAN

1. Mansuhkan yuran persekolahan yang dikenakan melalui PIBG – kotakan janji BN untuk menyediakan pendidikan percuma

2. Mansuhkan pinjaman – PTPTN - tukarkan menjadi biasiswa seperti termaktub dalam perlembagaan negara

3. Naikkan kadar geran per kapita untuk semua sekolah termasuk sekolah-sekolah bantuan kerajaan, khasnya di negeri Pahang, yang terima geran antara terkecil di Malaysia, sebab itu pencapaian anak-anak Pahang dalam peperiksaan utama tidak membanggakan

4. Jadikan wang zakat yang dipungut setiap tahun sebagai salah satu sumber dana pendidikan negara.

5. Jadikan subjek pendidikan Islam dan modul latihan penghayatannya sebagai subjek teras kepada semua pelajar Islam di semua peringkat.

TRANSFORMASI POLITIK DAN SOSIOEKONOMI

1. Mansuhkan semua akta draconian seperti ISA, Akta Mesin Cetak, OSA dan kaji semula Akta Polis untuk mengekang salah guna kuasa menindas rakyat dan pembangkang.

2. Negara ini mestilah dibangunkan menerusi penyuburan budaya ilmu dan wacana ilmiah, muzakarah dan debat berwibawa bukan dengan kekangan media, kekangan bersuara dan berbagai-bagai halangan seperti kekangan ke atas masjid dan seumpamanya.

3. Martabatkan masjid dan institusi imam sebagai pusat kemasyarakatan dan kepimpinan kariah dan daerah.

4. Bebaskan FELDA daripada budaya dan lagak tuan tanah gedawung. Ini bukan zaman penjajah dan peneroka FELDA tidak wajar dilayan sebagai buruh paksa. Jadikan peneroka FELDA pemegang saham dan usahawan, justeru mereka mesti diberi kebebasan selaku warganegara merdeka untuk menikmati kekayaan negara dan hasil keringat mereka dengan cara yang adil dan bermaruah. Jangan jadikan FELDA sebagai salah satu parti komponen BN atau kelab umno.

5. Berikan hak milik penuh tanah kepada rakyat yang telah meneroka dan membangunkan tanah desa sejak berpuluh tahun.

6. Berikan hak milik tanah yang diduduki oleh peserta perumahan PPRT.

7. Buat persempadanan pilihan raya secara adil – kembali kawasan Parlimen Pekan kepada sempadan asal sebelum pindaan pada tahun 2003, keluarkan kawasan Kem Tentera Batu 9 dan Jaya Gading dan Gambang daripada Parlimen Pekan. DS Najib dicabar bertanding secara anak jantan di dalam pilihan raya.

8. Bebaskan media daripada kekangan BN dan suburkan budaya ilmu dalam persada politik negara.

9.



Parti-parti pembangkang hendaklah dilayan dengan demokratik selaras dengan kehendak murni Perlembagaan negara.