ROSLAN ZAINAL AL-AHMADI
Catatan detik kembara menuju destinasi sebenar ...
Tuesday, December 31, 2019
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
1. Secara umumnya sambutan tahun baru tidak disyariatkan dalam Islam. Namun jika disambut dengan pengisian yang patuh syariah dan membawa kepada ketaatan kepada Allah SWT maka diharuskan. Tahun 2020 bukan sekadar angka, ia adalah permulaan dekad ketiga bagi kurun ke-21 Masehi.
2. Menjadi kebiasaan permulaan tahun baharu dijadikan sebagai pembukaan diari dan agenda untuk memperbaharui azam dan strategi dalam perjuangan umat dan organisasinya. Pada pertukaran tahun itu ada kebesaran Allah seperti firman-Nya:
إِنَّ فِي اخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمَا خَلَقَ اللّهُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَّقُونَ
"Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa." (Surah Yunus: 6)
3. Perjuangan menegakkan daulah dan syariat Islam, selain diperintahkan Allah, ianya adalah sunnah Rasullullah SAW dan diwariskan kepada umatnya. Maka seluruh ahli PAS Kawasan Lipis secara khusus *dan umat Islam amnya* diajak memperkukuhkan saf sebagaimana yang dikehendaki Allah:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوصٌ
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah As-Saff: 4).
Sehubungan itu, saya mengajak semua ahli PAS Kawasan Lipis membaharui tekad dan meningkatkan komitmen kepada gerak kerja jemaah dengan semangat berlumba-lumba dalam melaksanakan jihad dan kebaikan. Sambutlah semboyan perjuangan sama ada dalam keadaan susah apatah lagi senang supaya binaan jemaah ini terus tegap menjadi benteng pertahanan dan kekuatan kelangsungan ummah.
Marilah kita menjadi sebahagian daripada pejuang yang diperihalkan Allah:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya). (Surah Al-Ahzab: 23).
4. Tugas kita yang besar ialah melestarikan Penyatuan Ummah yang telah direalisasikan dengan pembentukan Muafakat Nasional. Mudah-mudahan ini adalah jalan kemenangan kepada Islam dan mengembalikan tertegaknya daulah Islam. Inilah peluang jihad yang disediakan Allah kepada generasi zaman kita, seperti yang pernah diberikan kepada orang Ansar dan Muhajirin.
وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ آوَواْ وَّنَصَرُواْ أُولَـئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقّاً لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia". (Surah Al-Anfal: 74).
5. Negara kita walaupun telah merdeka, tetapi kita masih tidak dapat membebaskan diri dari agenda penjajah. Sebahagiannya termaktub dalam perundangan yang menyukarkan kita melaksanakan hukum Islam, dan sebahagian yang lain adalah akibat sistem politik yang memberi peluang luas kepada pihak yang membenci Islam. Oleh sebab itulah kita kena melakukan Jihad Siyasah. Allah dan Rasul-Nya telah meninggalkan formula untuk kita patuhi, iaitu kembali kepada Islam dan patuhi Al-Quran dan Sunnah. Kerana tidak mematuhinya, kita gagal dalam perjuangan.
Marilah kita jadikan tahun 2020 tahun membina kekuatan untuk menang, bangkit bersama-sama. Firman Allah SWT:
لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
"Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai 'uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar." (Surah An-Nisa: 95).
#SALAM TAHUN BARU 2020
#MULAKAN HARI DENGAN SOLAT SUBUH BERJEMAAH SECARA ISTIQAMAH
#ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN
ROSLAN BIN ZAINAL
Yang Dipertua
PAS Kawasan Parlimen Lipis
20191231
Sunday, September 7, 2014
PAS NEGERI PAHANG BERSAMA MAJLIS SYURA ULAMA PERTAHAN PRESIDEN PARTI MILIKI KUASA PEMUTUS
Monday, August 18, 2014
PENCEMARAN HULU SUNGAI LIPIS DI TAHAP SERIUS
Monday, March 19, 2012
RAHSIA TARIKH PILIHAN RAYA – DS NAJIB BUKAN PM 1 MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
20 Mac 2012
RAHSIA TARIKH PILIHAN RAYA – DS NAJIB BUKAN PM 1 MALAYSIA
Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Pahang menganggap tindakan Perdana Menteri (PM), YAB Datuk Seri Najib Tun Razak merahsiakan tarikh pilihan raya membuktikan beliau hanya layak menjadi Perdana Menteri untuk Umno, BUKAN untuk seluruh rakyat Malaysia ATAU lebih tepat lagi bukan PM 1 Malaysia!
Jika benar beliau PM 1 Malaysia, yang mendakwa kononnya rakyat diutamakan, maka sudah tentu beliau berani untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) secara telus mulai SEKARANG! Pengumuman tarikh tersebut amat penting untuk membantu dan memudahkan rakyat mengatur jadual kehidupan mereka kerana PRU13 adalah suatu peristiwa penting dan besar untuk seluruh rakyat Malaysia.
Jika tarikh PRU13 di ketahui awal, bukan sahaja parti politik yang mendapat manfaat malah jutaan rakyat Malaysia dapat menyesuaikan tarikh kenduri perkahwinan, tarikh menunaikan umrah, tarikh persidangan, tarikh seminar, tarikh latihan, tarikh urusan perniagaan, tarikh peperiksaan, tarikh melancong dan seumpamanya. Apabila jadual dapat diatur maka mudahlah bagi semua rakyat ikut terlibat secara bertanggungjawab di dalam pilihan raya untuk menentukan teraju kepimpinan negara sekali gus arah tuju masa depan negara.
Justeru, PAS Pahang menggesa jika benar DS Najib mendukung transformasi politik negara, UMUMKAN SEGERA TARIKH PRU13. Jadikan PRU13 sebagai pilihan raya pasca 54 tahun kemerdekaan, bukan pilihan raya undur 50 tahun ke belakang. Berikan hak yang adil dan saksama kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka. Berikan demokrasi maklumat kepada seluruh rakyat.
Sekian, terima kasih.
ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan
Wednesday, February 29, 2012
MUNAJAT MENUJU KEMENANGAN
Sukacita dengan penuh hormat SEMUA AHLI PAS PAHANG TERUTAMANYA JAWATANKUASA CAWANGAN DAN UPU DAN KEPIMPINAN DI SEMUA PERINGKAT DIJEMPUT HADIR (MUAKKADAH) KE MUNAJAT INI DEMI MEMANTAPKAN TEKAD DAN MENDEKATKAN HATI SETULUSNYA KEPADA ALLAH SWT DALAM MELAYAKKAN JEMAAH MENDAPAT KURNIAAN PERTOLONGAN DAN KEMENANGAN DALAM PRU 13. DENGARKAN JUGA AMANAT PRESIDEN SEBAGAI PERSEDIAAN AKHIR TURUN KE MEDAN - SEBARKAN.
Friday, January 20, 2012
SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KEMASUL, BENTONG
KENYATAAN MEDIA
20 Januari 2012
Berdasarkan lawatan kerja PAS Pahang ke kawasan tersebut pada 19 Januari 2012, didapati papan tanda pemberitahuan status Hutan Simpan Kekal oleh Jabatan Perhutanan masih gah terpacak di puncak bukit berkenaan. Kewujudan papan tanda rasmi ini mengundang tanda tanya rakyat mengenai status hutan tersebut adakah sudah dilupuskan untuk tujuan pembalakan dan pertanian berikutan terdapatnya tiga kawasan matau pembalakan di sekitarnya yang siap tertera nombor lesen dan maklumat pembalakan.
1. Benarkah kerajaan telah mengeluarkan lesen pembalakan yang sah untuk membolehkan pengeluaran balak di kawasan hutan simpan tersebut?
2. Adakah status Hutan Simpan Kekal itu telah dilupuskan?
3. Jika dilupuskan adakah mengikut prosedur atau dibolehkan oleh undang-undang?
4. Mengapa dilupuskan sedangkan kawasan tersebut amat penting sebagai khazanah perhutanan negara sekali gus sebagai kawasan tadahan untuk lembangan Sungai Teriang dan Sungai Pertang. Tidakkah akan menjejaskan ekologi dan bekalan air bersih jangka panjang untuk negara?
Kami mendapat aduan penduduk sekitar bahawa aktiviti pembalakan sudah berjalan kira-kira dua bulan lepas dan lori yang membawa kayu balak keluar mengikut jalan Kampung Chemomoi dan FELDA Kemasul - Triang termasuk pada waktu malam.
Penduduk tempatan juga mengadu mengenai keadaan air Sungai Pertang dan Sungai Triang yang begitu keruh sejak beberapa bulan berkemungkinan kesan daripada aktiviti pembalakan tersebut.
PAS Pahang menggesa pihak kerajaan menarik balik sebarang lesen pembalakan jika ada dikeluarkan kepada mana-mana pihak dan mengambil tindakan segera menghentikan sebarang aktiviti penjarahan hasil hutan di kawasan Hutan Simpan Kemasul sekali gus diikuti tindakan segera untuk PEMULIHARAANNYA demi untuk menyediakan kawasan tadahan air bersih untuk generasi akan datang.
- SELAMATKAN HUTAN KITA KHAZANAH RAKYAT.
- SELAMATKAN NEGERI PAHANG DARIPADA KERAKUSAN PENJARAH.
- SELAMATKAN MALAYSIA. BERSAMA MEMBUAT PERUBAHAN
- ANDA RAKYAT MERDEKA BERANI MELAKUKANNYA.
Sekian, terima kasih.
ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan