Sunday, February 27, 2011

KERDAU - MASALAH RAKYAT YANG TIDAK DIPEDULIKAN KERAJAAN

Menteri Besar Pahang kata tiada isu di Kerdau. Memanglah sebab dia dan wakil rakyat BN tak turun padang atau buat-buat tak nampak masalah rakyat. Bila tiba PRK barulah nak nampak muka dan umumkan projek.

Dah berbulan-bulan 10 kampung di tebing Sungai Pahang dalam DUN Kerdau dihimpit masalah ketiadaan air paip. Baldi dan tong air yang diletakkan di depan rumah jarang dipenuhi mengikut jadual. Bukan sahaja rumah malah jemaah yang ke masjid pun turut menghadapi masalah yang sama.

Tong air menunggu diisi oleh lori JBA yg selalu culas

Tangki air di masjid Kerai - kosong!

Loji air Batu Sawar terletak beberapa kilometer sahaja daripada Kg Kerai. Tapi tak mampu membekalkan air untuk kampung-kampung berdekatan!

PENGUNDI KERDAU, BERIKAN UNDI KEPADA CALON PAS SEBAGAI PROTES KEPADA KEGAGALAN PEMIMPIN BN!

Bukan sahaja masalah bekalan air malah kemudahan awam juga tidak diselenggara dengan baik. Balai Raya di Kg Kerai yang akan digunakan pada 6 Mac 2011 sebagai tempat membuang undi didapati berada dalam keadaan uzur, tidak dibaiki selepas dilanda ribut pada 2010!

Keadaan atap balai raya Kg Kerai yang rosak, terbiar tanpa penyelenggaraan

Thursday, February 24, 2011

PRK KERDAU: PERARAKAN CALON PR ESOK 26 FEBRUARI 2011

HEBAHAN MEDIA

25 Februari 2010

PRK N.28 KERDAU: TATA CARA PERARAKAN PENAMAAN CALON PAKATAN RAKYAT 26 FEBRUARI 2011

Semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dijemput bersama mengiringi calon PR ke majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.28 Kerdau yang dijadualkan seperti berikut:

Masa

Acara

05.00 pagi

:

Munajat Perdana di Tapak Parkir Belakang Plaza Temerloh.

:

Solat Subuh.

07.30 pagi

:

Peserta perarakan mula berhimpun di tapak parkir belakang Plaza Temerloh / belakang Balai Bomba Temerloh.

08.00

:

Perarakan mula bergerak dari tapak berhimpun melalui bandar lama Temerloh ke Jalan Semantan, melalui hadapan Arked Mara dan berakhir di kawasan parkir di belakang CIMB Bank.

09.00

:

Proses penamaan calon bermula di Dewan Tun Razak, Temerloh

12.00 tengah hari

:

Bersurai.

Semua pimpinan dan peserta perarakan penamaan calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau dinasihatkan datang awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Jalan utama bandar Temerloh iaitu Jalan Ahmad Shah akan ditutup seawal jam 6.00 pagi bermula di hadapan Maybank.

Peserta yang menyertai munajat perdana disarankan membawa tikar dan sejadah serta siap berwuduk. Pastikan anda tidak membawa alat bunyian dan peralatan yang boleh diklasifikasikan sebagai senjata berbahaya.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan

KERDAU – JADIKAN UNDI ANDA PROTES KEPADA KEGAGALAN KERAJAAN BN


PRK DUN N.28 Kerdau adalah peluang untuk rakyat menilai prestasi kerajaan yang memerintah terutama setelah melepasi penggal matang tiga tahun yang dimaktubkan dalam perlembagaan. Pengundi Kerdau boleh menjadi wakil kepada suara rakyat terbanyak memberikan penilaian pencapaian KPI kerajaan yg diwar-warkan semasa permulaan kerajaan dibentuk selepas PRU 12.

Kerajaan BN negeri Pahang ternyata gagal mengurus mandat yang diberikan rakyat melalui PRU12. Petunjuk atau KPI-nya mudah sahaja, bajet negeri yang berterusan defisit 13 tahun berturut-turut menunjukkan pemimpin BN Pahang sudah hilang kelayakan untuk memikul amanah mengurus khazanah negeri. Bajet 2011 yang dibentangkan pada penghujung tahun lalu menganggarkan defisit melebihi RM68 juta! Defisit yang berterusan dan semakin bertambah ini bukan disebabkan sumber ekonomi yang terhad tetapi menggambarkan kegagalan kerajaan BN.

Bayangkan jika sebuah entiti perniagaan atau koperasi mengalami kerugian selama 13 tahun berturut-turut, adakah para pelabur akan berdiam diri membiarkan Lembaga Pengarahnya berada di tampuk pentadbiran? Yang nyata dengan prestasi seburuk itu, negeri Pahang boleh jatuh muflis dan terus ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Kepada pengundi KERDAU, JANGAN BIMBANG UNTUK MENUKAR UNDI ANDA KALI INI DENGAN MEMILIH CALON PAKATAN RAKYAT YANG DIWAKILI PAS. UNDI ANDA TIDAK AKAN MENUKAR KERAJAAN TETAPI AKAN MENJADI MEMORANDUM PROTES ATAS PERKARA-PERKARA BERIKUT:

· PROTES 1: TANAH – susah sangat ke kerajaan negeri nak luluskan tanah yang telah dipohon oleh orang Melayu di kampung-kampung? Bukan sahaja telah menunggu puluhan tahun malah ada yang diukur sempadan berkali-kali namun geran tidak kunjung tiba!

· PROTES 2: FELDA – kembalikan FELDA kepada matlamat asal penubuhannya untuk memberi tanah kepada rakyat yang tidak bertanah, land for the landless. Moh kita protes sehingga FELDA Plantation ditukar menjadi FELDA berpeneroka! Fikirkan masa depan anak muda anda yang perlukan rumah, tanah dan sumber kehidupan ...

· PROTES 3: PEMBANGUNAN – Pembangunan mega hanya bertumpu di Kuantan, kita di Kerdau dapat baunya saja. Kenapa tidak ditebarkan projek-projek besar ke seluruh negeri Pahang supaya percikan rezekinya dapat dirasai semua daerah. Kenapa tak bina kampus Universiti Pertahanan Nasional di Temerloh?

· PROTES 4: PENDIDIKAN – kenapa SEDIKIT sangat bajet untuk pendidikan Islam di Pahang? Bukan sahaja sekolah-sekolah agama kekurangan peruntukan, malah kelas KAFA pun menumpang di sekolah kebangsaan!

· PROTES 5: PRASARANA – Sedara mara kita di Batu Sawar, Pulau Pasir Mandi dan Kerai dah berbulan-bulan dihimpit masalah bekalan air, sedangkan loji air tersergam di Batu Sawar! Ke mana perginya YB dan ketua masyarakat, tak bersuara ke atau tak prihatin?

· PROTES 6: BIASISWA – Kata nak tolong orang Melayu berpendidikan tinggi, kenapa biasiswa yang termaktub dalam perlembagaan negara diganti dengan hutang PTPTN? Kasihannya anak-anak kita belum habis belajar dah berhutang!

· PROTES 7: SUKAN – Nak merasa kemudahan sukan moden dan canggih agaknya mimpi sahaja tapi padang bola yang ada di kampung-kampung tolonglah selenggara dengan sempurna .... kami nak jadi anak muda pelapis negara yang sihat bertenaga.

MOH KITA UNDI PROTES, PILIH CALON PAS UNTUK MENEGUR KELEMAHAN KERAJAAN BN.

KITA GENERASI MERDEKA DAN PINTAR!

Wednesday, February 16, 2011

NAIK TARAF JALAN LIPIS KE GUA MUSANG: KERAJAAN PERLU SEDIAKAN PELAN PROAKTIF UNTUK PERKEMBANGAN EKONOMI PENDUDUK TEMPATAN

Pakatan Rakyat Negeri Pahang (PR Pahang) menggesa pihak kerajaan menyediakan pelan proaktif yang praktikal bagi memastikan para peniaga di sepanjang laluan Projek Menaik Taraf Jalan Laluan 8 Dari Kg Relong ke Gua Musang tidak terjejas sumber ekonomi mereka ekoran projek tersebut.

PR Pahang menerima sungutan dan aduan penduduk terutamanya di Pekan Merapoh dan Kampung Teluk Gunung yang bimbang kemungkinan punca pendapatan mereka yang membuka perniagaan di sepanjang jalan raya sedia ada akan terjejas teruk. Kebimbangan ini kerana di bawah projek tersebut, laluan sedia ada didakwa dilencongkan sepenuhnya bermula daripada jambatan Sungai Tanum berhampiran Felda Chegar Perah hingga ke sempadan Pahang – Kelantan di Kg Mentara. Lencongan tersebut merupakan laluan baru sepenuhnya yang tidak lagi melalui Perkampungan Felda Chegar Perah, Perkampungan Felcra Sungai Temau, Kampung Kubang Rusa, Kampung Teluk Gunung dan Pekan Merapoh.

Antara premis perniagaan yang bakal terjejas teruk ialah Stesen Minyak Caltex dan beberapa pusat Rawat dan Rehat (R & R) di Merapoh. Difahamkan stesen minyak tersebut baru sekitar setahun lebih beroperasi dan dimiliki oleh sebuah koperasi tempatan.

PR Pahang menggesa kerajaan negeri Pahang serta semua agensi kerajaan Persekutuan yang terbabit menyediakan pelan tindakan proaktif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kampung-kampung tersebut di samping merangka program alternatif segera untuk membantu para peniaga yang terkesan langsung daripada projek berkenaan.

Stesen minyak di Merapoh ini bakal terjejas ekoran lencongan jalan utama Lipis - Gua Musang

PR Pahang menggesa Kerajaan Persekutuan menimbang kembali pelaksanaan projek Lebuh Raya Laluan Tengah Utama (Central Spine Highway) berkapasiti empat lorong dari Seremban - Simpang Pelangai - Kuala Krai yang tidak diluluskan kerajaan pada pertengahan tahun 2010.

PR Pahang menggesa projek lebuh raya tersebut diluluskan dan dilaksanakan secara perperingkat serta berhemah dengan memastikan kelestarian alam sekitar dan khazanah hutan, dan lebih penting ianya bebas tol. Lebuh raya ini jika dilaksanakan bukan sahaja melancarkan kesesakan melampau trafik di musim perayaan malah mampu merangsang pembangunan kawasan Pahang Barat yang selama ini seakan terpinggir daripada pembangunan.

Rakyat Kelantan dan Pahang barat boleh membantu supaya projek ini menjadi realiti dengan menyertai kempen berkaitan di laman komuniti Facebook "Central Spine Exrepssway."


UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang
merangkap Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang

Thursday, February 3, 2011

AHLI PAS – TUNAIKAN KEWAJIPAN TAHUNAN ANDA

Selaras dengan kebiasaan awal tahun di adakan Mesyuarat Agung Tahunan / Muktamar Tahunan (MAT) di semua peringkat hierarki parti, wajar dibuat ulang kaji peranan setiap ahli dalam menanggapi program tahunan ini. Perbincangan akan memberi fokus kepada dua perkara iaitu MAT dan Yuran Tahunan.



KEPENTINGAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

Sebagai parti politik sekali gus gerakan Islam, PAS adalah kerajaan menunggu. Justeru MAT merupakan acara penting yang wajar dijadikan sebagai tamrin menyediakan kemahiran kepimpinan di peringkat saf bawah. Tiga fokus penting dalam MAT:

1. Perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan – agenda ini jika diprogramkan dengan baik berguna sebagai latihan memantapkan kepimpinan dan organisasi parti. Agenda ini merupakan medan muhasabah pengurusan parti dan pengurusan kewangan untuk setahun yang telah berlalu, mengenal pasti segala kelemahan, kekuatan, peluang dan penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk sesi baru mendatang.

2. Perbahasan Usul – agenda ini juga penting untuk membina dan menyerlahkan keupayaan kepimpinan parti menggarap isu-isu dalaman parti, isu-isu negara dan juga isu-isu antarabangsa untuk kepentingan rakyat dan ummah. Usul yang diluluskan jika perlu dan sesuai wajar dihebahkan kepada rakyat melalui media serta disampaikan kepada pihak yang disasarkan untuk membuat tindakan.

3. Pemilihan Kepimpinan Parti – MAT Tahun 2011 adalah MAT yang akan membuat pemilihan Jawatankuasa Kerja baru parti di semua peringkat. Agenda ini perli diurus dengan baik bukan sekadar untuk mengelakkan sebarang kekecohan malah yang lebih utama ialah memastikan kepimpinan baru yang dipilih benar-benar berkelayakan untuk memikul amanah perjuangan. Tatacara pemilihan yang ditetapkan parti dalam proses pemilihan di samping akhlak yang ditetapkan Islam dalam proses pemilihan kepimpinan jemaah perlu dipatuhi oleh semua ahli, dan Allah SWT menjadi saksi atas segala kerja buat anda.

Selain itu, majlis perasmian MAT yang kebiasaannya disempurnakan oleh tetamu kehormat dari kalangan tokoh kepimpinan parti wajar dimanfaatkan sebagai majlis merakyatkan parti. Ini boleh dilakukan dengan memastikan semua ahli yang hadir sebagai perwakilan atau pemerhati membawa bersama mereka seluruh ahli keluarga untuk memeriahkan majlis perasmian tersebut. Selain itu orang ramai, tokoh-tokoh masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan boleh diundang ke majlis perasmian MAT supaya mesej parti yang akan disampaikan oleh tokoh kepimpinan parti dapat dikongsi bersama mereka.



KEWAJIPAN MEMBAYAR YURAN TAHUNAN


Membayar yuran tahunan adalah sebahagian daripada tanggungjawab tahunan ahli PAS. Yuran perlu dibayar bukan sekadar sebagai sumber kewangan parti malah lebih utama menjadi bukti ikrar atau baiah perjuangan setiap ahli. Kewajipan membayar yuran tahunan dan ketetapan-ketetapan berkaitan kewangan yang diputuskan secara kolektif oleh parti dari masa ke semasa disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) di dalam Fasal 14 Ceraian 2 (a).


Justeru setiap ahli PAS wajar menyemak status keahlian mereka dengan menjadi ahli di mana-mana cawangan PAS di seluruh negara supaya pembayaran yuran tahunan dan tanggungjawab kewangan lain dapat dilakukan dengan sistematik. Maksud sistematik di sini ialah setiap hierarki parti akan mendapat bahagian agihan bayaran tersebut bermula daripada Cawangan, Kawasan, Negeri dan PAS Pusat. Pastikan anda menjadi pemegang saham kekuatan kewangan parti dan pastikan anda lulus ketika di soal di Padang Mahsyar kelak dalam bab tanggungjawab asasi tahunan terhadap jemaah perjuangan Islam ini.


Bersegeralah berjumpa dengan Bendahari PAS Cawangan anda dan jelaskan yuran tahunan anda dan anggota keluarga anda sebagai ahli PAS yang bertanggungjawab, Kemantapan kewangan parti tanggungjawab anda.



KEPENTINGAN MENJADI AHLI PAS CAWANGAN


Penggabungan sebagai ahli PAS cawangan juga membolehkan anda menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan di peringkat Cawangan seterusnya berpeluang dipilih menjadi perwakilan ke Mesyuarat Agung di peringkat Kawasan, Negeri malah ke Muktamar di peringkat Pusat. Sebagai perwakilan anda berpeluang menyalurkan idea dan pandangan malah kritikan membina untuk memantapkan parti. Anda juga berpeluang dipilih menjadi kepimpinan parti di pelbagai peringkat untuk menjayakan idealisme perjuangan, Jika dipilih, anggaplah ia suatu kemuliaan yang dikurniakan Allah kerana terpilih sebagai mujahid penerus risalah perjuangan para nabi dan rasul ‘alaihimus salam.

Wednesday, February 2, 2011

Menipu Dalam Sukatan dan Transaksi

Maksud Firman Allah SWT: "Kecelakaan bagi orang yang curang (dalam sukatan atau timbangan). Iaitu orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhi. Tetapi apabila mereka menyukat untuk orang lain mereka mengurangi. Tidakkah mereka itu menyangka bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan? Pada hari (KIamat) yang amat besar? Hari manusia dibangkitkan menghadap Tuhan sekalian alam. (al-Quran, Surah al-Muthaffifin: 1 - 6).

Maksud curang atau menipu dalam sukatan yang disebutkan di dalam ayat di atas perlu dipandang dalam skop urusniaga atau transaksi yang luas, bukan sahaja urusniaga runcit malah meliputi sektor kejuruteraan pembinaan, sektor ICT, sektor hartanah dan seumpamanya. Dalam sektor runcit mudah sahaja difahami penipuan dalam timbangan sama ada penipuan dalam bentuk kuantiti mahupun menipu dengan penggunaan alat timbangan yg tidak tepat. Justeru memang wajar alat penimbang sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa.

Dalam sektor pembinaan contohnya jalan raya, kontraktor pembinaan mungkin menipu dalam bentuk kualiti bahan dan kuantitinya. Mereka boleh sahaja menggunakan bahan yang tidak berkualiti dan mengurangkannya sama ada semasa pembinaan malah ada yang menipu pada resit pembelian. Akibatnya jalan raya yang baru sebulan siap dibina rosak di sana sini dan menjadi 'perangkap' yang membawa kecelakaan kepada pengguna jalan raya.

Begitu juga yang berlaku dalam pembinaan bangunan dan sebagainya. Implikasinya diperlihatkan dalam tragedi stadium runtuh, masjid runtuh, makmal komputer sekolah runtuh dan lain-lain yang berlaku di Malaysia. Malah tragedi kapal selam tidak boleh menyelam, kereta baru yang kerosakan komponen tertentu dan lain-lain adalah manifestasi kecurangan dalam transaksi atau perniagaan selain faktor RASUAH yang menambah parahnya kualiti tamadun manusia sekarang.



Jika perspektif 'al-muthoffifin' tersebut diperluaskan maka memang wajarlah balasannya neraka wail. Kerana golongan al-muthoffifin bukan saja mengkhianati orang awam malah boleh meruntuhkan ekonomi negara.

Masjid - Lemah Kerana Dibelenggu Kejumudan

(Nota aku dalam laman Facebook November 15, 2010)

Jumaat lepas aku menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di pinggir bandar Temerloh. Seusai azan kedua, khatib memulakan khutbah pertama. Aku menoleh sebentar ke belakang dan kaget melihat beberapa saf hampir di belakang ku masih kosong. Mungkin kerana waktu solat masuk awal kali ini maka ramai makmum yg belum tiba. Tapi kenapa bilal dan imam atau khatib boleh biarkan saja.. kenapa tidak diminta makmum yg memang tabiatnya suka pilih saf di belakang supaya tampil ke hadapan. Permintaan ini perlu dibuat sebelum khutbah bermula atau ketika di awal khutbah.

Khatib yang membaca khutbah pula pada pendapat aku tidak layak kerana tidak lancar bukan sahaja membaca petikan ayat-ayat al-Quran dan hadis malah beberapa perkataan dalam bahasa Melayu pun gagal disebut dengan betul atau jelas! Sekali lagi aku memandang sekilas ke belakang dan kaget juga kelihatan beberapa tokoh ilmuwan pendidikan Islam ada sebagai makmum. Mereka ini perpendidikan tinggi dan semestinya lebih layak menjadi khatib atau imam. Tetapi mungkin kerana mereka tidak dipelawa atau tawaduk atau memang dikekang oleh sistem pentadbiran masjid yang dikongkong oleh umno!

Ketika solat didirikan, imam pula adalah seorang yang aku kira sudah terlalu lanjut usia yang sudah sewajarnya digantikan oleh tenaga muda yang mempunyai suara lebih lantang dan bertenaga untuk memimpin jemaah dan kariah. Mungkin itu tidak berlaku kerana kekangan sistem yang ada atau mungkin juga sang imam sendiri tidak bersedia memberi laluan kepada yang lebih berkelayakan.

Ini adalah senario biasa di kebanyakan masjid kampung dan desa di seluruh negara. Institusi masjid dan imam lesu kerana sistem pemerintahan yang ada sekarang tidak meletakkan dua institusi penting ini sebagai keutamaan. Akibatnya pegawai masjid khasnya di kg atau desa dilantik sekadar memiliki kelayakan minimum sahaja.

Aku berazam jika Pakatan Rakyat diberi peluang mentadbir negeri ini, perkara ini antara perkara penting yang perlu diberi sentuhan dan reformasi, agar kualiti ummah dapat dipertingkatkan dengan masjid sebagai nukleus utamanya.